Advertisement

Penyiaran Langsung Prosiding Mahkamah Rasuah: Implikasi Terhadap Presumption of Innocence, Integriti Kehakiman dan Persepsi Awam di Malaysia

Pendekatan menilai penyiaran langsung prosiding mahkamah dalam kes rasuah memerlukan analisis mendalam daripada sudut keadilan prosedural, psikologi undang-undang dan sosiologi perundangan. Dari perspektif undang-undang dan keadilan jenayah, isu ini bukan sahaja melibatkan persoalan ketelusan, tetapi juga keseimbangan antara hak awam untuk mendapatkan maklumat, prinsip presumption of innocence, dan perlindungan terhadap integriti kehakiman.

Penyiaran secara langsung, walaupun dilihat dapat meningkatkan ketelusan, berpotensi menukar mahkamah kepada “court of public opinion” di mana penilaian awam yang bersifat emosional berlaku sebelum bukti lengkap dipersembahkan dan disemak secara sah. Kajian akademik antarabangsa menunjukkan bahawa liputan langsung meningkatkan risiko confirmation bias, di mana khalayak umum membentuk persepsi awal berdasarkan tanggapan visual dan naratif media, bukan hujahan undang-undang yang sahih. Hal ini bukan sahaja boleh mempengaruhi pandangan terhadap tertuduh, tetapi juga terhadap hakim, yang mungkin menghadapi tekanan psikologi akibat sorotan awam secara langsung.

Tambahan pula, penyiaran langsung membuka ruang kepada manipulasi digital termasuk penggunaan teknologi AI untuk mengubah rakaman, mencipta naratif palsu, atau mengeksploitasi identiti saksi serta dokumen sulit. Risiko ini bukan sahaja memberi kesan terhadap perbicaraan tertentu, tetapi juga menghakis keyakinan jangka panjang terhadap sistem kehakiman. Dalam teori sosiologi undang-undang, kepercayaan awam ialah elemen modal institusi yang dibina melalui prosedur yang konsisten, ketelusan dalam penjelasan keputusan (reasoned judgments) dan kawalan etika media, bukannya melalui paparan visual semata-mata.

Dari perspektif perbandingan, sistem kehakiman British yang menjadi asas kepada sistem di Malaysia ,mengekalkan larangan rakaman dan fotografi secara ketat di dalam mahkamah sebagai sebahagian daripada doktrin open justice. Prinsip ini memastikan akses awam terhadap prosiding secara fizikal tanpa mengkompromi tatasusila perbicaraan atau mencetuskan gangguan. Malah, kajian kes menunjukkan bahawa kehadiran kamera boleh mengubah tingkah laku peguam dan saksi, mewujudkan elemen performative justice yang bercanggah dengan keadilan substantif.

Oleh itu, sebarang cadangan penyiaran langsung memerlukan rangka kerja perundangan yang ketat meliputi tiga aspek utama: pertama, penentuan kriteria kes yang layak disiarkan secara telus tanpa diskriminasi; kedua, pelaksanaan mekanisme kawalan kandungan dan pematuhan terhadap piawaian etika digital; dan ketiga, pembangunan protokol perlindungan reputasi tertuduh sekiranya didapati tidak bersalah. Pendekatan hibrid seperti penyiaran rakaman tertunda (delayed broadcast) selepas keputusan diumumkan, dengan penapisan elemen sensitif, mungkin lebih sesuai sebagai langkah awal.